Selain itu, ia juga lebih popular di kalangan golongan lebih berkemampuan berikutan harganya sangat mahal disebabkan mempunyai khasiat tinggi.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Aneka Haiwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Putrajaya, Dr Fadzilah A’ini Abd Kadir berkata, keistimewaan burung walit terletak pada sarang dan najisnya.
“Sarangnya mempunyai glikoproten, mineral, karbohidrat, protein dan lain-lain yang dikatakan sangat baik untuk kesihatan.
“Percaya atau tidak, jika seseorang mengambil sarang burung secara konsisten, ia boleh menjadi awet muda kerana mempunyai mineral dan protein,” katanya ketika ditemui InfoAgro di Serdang, baru-baru ini.
Menurutnya, glikoprotein pula dikatakan menjadi penebat kepada penyakit seterusnya menjadikan badan sihat dan cergas.
Selain sarang, katanya, najis burung walit atau dipanggil sebagai ‘guano’ juga mempunyai keistimewaannya tersendiri.
“Kami memanggilnya guano. Ini adalah kerana asal-usul burung tersebut dari dalam gua dan di tempat gelap seterusnya berfungsi sebagai baja organik yang sangat bagus untuk tanaman,” katanya.
Beza burung walit dan burung layang-layang
Menceritakan mengenai burung walit, Fadzilah A’ini berkata, ramai yang masih lagi keliru. Hanya segelintir sahaja yang tahu mengenainya dan itu pun di kalangan mereka yang terbabit dengan industri sarang burung.
“Burung walit bukanlah burung layang-layang tetapi ramai yang beranggapan demikian disebabkan bentuk fizikalnya yang kelihatan seakan-akan sama.
“Jika diperhatikan, bulu burung layang-layang mempunyai warna merah di hujung dadanya berbanding burung walit yang hanya berwarna coklat gelap sekata,” katanya.
Beliau berkata, perbezaan kedua-dua burung ini boleh dilihat dari segi kelas, famili, order, bilangan spesies, habitat dan komponen sarangnya.
“Burung walit atau nama saintifiknya Edible-nest swiftlet dari kelas Aves iaitu jenis yang ada bulu dan tulang serta boleh terbang. Ia adalah daripada famili Apodidae dan order Apodiformes iaitu tangkas terbang di udara serta mempunyai jangka hayat sehingga 25 tahun.
“Selain itu, bilangan spesies burung walit adalah lapan dan habitatnya adalah jenis yang balik ke sarang dan menggunakan rembesan liur sebagai komponen sarangnya,” katanya.
Menurutnya, burung layang-layang pula atau nama saintifiknya Swallow juga dari kelas Aves. Ia adalah dari famili Hirudinidae dan order Passeriformes iaitu kaki mencengkam.
“Sebanyak 74 spesies burung layang-layang dikenal pasti dan kebanyakannya berhijrah serta bertenggek di rangkaian elektrik.
“Burung layang-layang membuat sarang guna rumput, ranting dan bulu,” katanya.
Pembesar suara komponen penting
Fadzilah A’ini berkata, pembesar suara adalah komponen paling penting dalam perladangan burung walit kerana ia berfungsi untuk mengeluarkan suara walit bagi memikat burung tersebut masuk ke rumah baru.
“Industri burung walit dipanggil sebagai perladangan disebabkan burung tersebut diumpan untuk masuk ke rumah baru dengan cara mengajuk suaranya dan bukanlah menggunakan kaedah menangkap seterusnya bersarang serta bebas keluar masuk tanpa ditahan.
“Panggilan burung walit itulah yang menyebabkan bunyi bising. Bunyi itu adalah untuk panggilan burung jadi mereka akan datang dengan sendirinya,” katanya.
Selain itu, katanya, panggilan ke atas burung walit hanya boleh dilakukan pada masa-masa tertentu sahaja.
“Panggilan yang dibenarkan adalah pada waktu pagi kira-kira jam 7 pagi hingga 10 pagi dan jam 5 petang hingga 8 malam di Semenanjung Malaysia serta jam 6 pagi hingga 9 pagi dan jam 4 petang hingga 7 malam bagi Sabah dan Sarawak.
“Pembesar suara pula perlu diletakkan di sebelah luar kira-kira 60 darjah menghala ke atas dengan tahap bunyinya kurang daripada 40 desible (dB),” katanya.
Walau bagaimanapun, katanya, kesilapan umum yang sering dilakukan ialah menggunakan bunyi panggilan yang terlampau kuat walhal burung ini tidak sukakan bunyi yang terlalu kuat.
Rumah burung walit
Menurut Fadzilah A’ini, burung walit hanya terdapat di Kepulauan Melayu seperti Malaysia, Selatan Thailand dan Indonesia serta Vietnam yang sedang meningkat naik.
“Bagi negara kita, kawasan yang paling banyak adalah di Pulau Pinang, Terengganu, Perak dan Kota Bharu yang mana hampir 80 peratus terletak di bandar dan selebihnya di kawasan desa,” katanya.
Beliau berkata, ia boleh dibina di mana-mana sahaja kerana jika mengikut pada piawaian bunyi yang ditetapkan, ia tidak akan mengganggu ketenteraman orang ramai.
“Rumah burung walit berfungsi sebagai premisnya terutamanya apabila burung tersebut ingin membina sarang,” katanya.
Beliau berkata, keserasian burung walit dengan rumahnya dapat dilihat apabila ia akan mula menapak di rumah tersebut setelah mengawan di awan biru seterusnya mula membina sarang menggunakan rembesan liur.
Menurutnya, premis burung walit tidak boleh dibina di kawasan sejuk seperti di Cameron Highlands, Keningau dan Bukit Larut.
Katanya, burung walit sukakan suhu antara 26 hingga 30 darjah Celsius dengan kelembapan sehingga 90 peratus.
“Ia tidak perlu terlalu terang tetapi tidak semestinya perlu bergelap.
"Apabila membuat pengurusan, dibolehkan memasang lampu dan ia tidak berbahaya serta burung juga tidak akan lari.
“Walau bagaimanapun, masa untuk mengemas adalah dari jam 10 pagi hingga 3 petang iaitu sebelum burung itu pulang ke sarang,” katanya.
Sarang burung Malaysia terbaik di dunia
Sementara itu, katanya, sarang burung walit Malaysia diakui terbaik di dunia dan itu bermakna negara ini punya pasaran yang tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Ini secara tidak langsung, menjadikan permintaan terhadap sarang burung walit lebih tinggi berbanding pengeluaran dan seterusnya meningkatkan taraf kehidupan bagi masyarakat desa dan bandar,”
Sumber : Sinar Harian 12 Julai 2011
No comments:
Post a Comment