Thursday, March 17, 2011

♥ Salah Faham Mengenai Daging Kambing


Bagi mereka yang bijak dan teliti menilai makanan, tentu memeranjatkan apabila ada di antara mereka mempunyai tanggapan yang salah apabila bercakap tentang daging kambing yang selalu disebut "mutton" di dalam bahasa Inggeris.

Bertentangan dengan apa yang difahami selama ini, "mutton" sebenarnya bukanlah daging kambing sebaliknya adalah daging kambing biri-biri yang sudah tua.

Di negara-negara Barat, daging kambing sering disebut sebagai "Chevon". Manakala daging kambing muda, disebut sebagai "cabrito" atau "capretto".

Masih ramai yang tidak menyedari bahawa 63 peratus daripada daging merah yang dimakan setiap hari di seluruh dunia adalah daging kambing dengan Australia sebagai pembekal terbesar daging kambing yang berkualiti.

Di Malaysia, permintaan terhadap daging kambing tidak begitu tinggi. Ini disebabkan oleh dua faktor.

Pertama, pengguna tidak tahu di mana hendak membeli daging kambing. Kebanyakan pasar raya hanya menjual daging biri-biri tua dan daging biri-biri.

Faktor kedua pula, salah tanggapan bahawa daging kambing mempunyai kandungan lemak tepu dan kolesterol yang tinggi, oleh itu tidak sihat untuk jantung manusia.

SALAH TANGGAPAN

Salah tanggapan ini menyebabkan orang Malaysia mengelak makan daging kambing, yang khasiatnya bertentangan dengan daging biri-biri tua.

Persatuan Jantung Amerika menyarankan daging kambing untuk mereka yang mempunyai masalah berkaitan jantung. Ini disebabkan daging tersebut tinggi kualiti proteinnya dengan nisbah kandungan lemak yang sihat.

Menurut Pengarah Urusan Majestic Boer Farm Sdn Bhd, Yeow Joo Kwang, salah tanggapan yang biasa terhadap daging kambing ialah daging tersebut dianggap sebagai 'mutton', yang mengandungi kandungan lemak tepu dan kolesterol yang tinggi, berbau hamis dan hanya sesuai dimasak dengan kari.

Tidak seperti daging biri-biri atau biri-biri tua, daging kambing mempunyai kandungan lemak tepu yang jauh lebih rendah dan hidangannya juga boleh dipelbagaikan berbanding daging lembu dan daging biri-biri.

Struktur molekul daging kambing adalah berbeza dan hasilnya daging kambing lebih mudah dihadam. Amat sesuai untuk mereka yang mementingkan kesihatan.

Jika dibandingkan, daging kambing mengandungi zat besi dan kandungan potasium yang rendah kandungan mineralnya. Dagingnya lebih pejal dan lebih rendah kalori daripada daging lembu dan ayam tanpa kulit.

Kesemua asid amino yang diperlukan ada di dalam daging kambing tanpa sebarang hormon, bahan kimia dan pencemaran bakteria.

RASA LEBIH BAIK

Secara keseluruhannya tidak ada daging kambing yang dapat menandingi kambing Boer dari Afrika Selatan dari segi rasa dan kelazatannya. Inilah sebabnya daging tersebut mendapat permintaan yang tinggi di negara-negara seperti Australia dan Amerika Syarikat.

Kambing Boer juga memiliki tulang yang lebih tebal berbanding kambing jenis lain. Disebabkan ototnya yang sekali ganda lebih banyak, kambing Boer memiliki daging yang lebih banyak berbanding kumpulan kambing yang lain.

Daging kambing yang baik kualitinya dapat dihasilkan berdasarkan kepada pelbagai faktor. Bermula dengan kualiti penternakannya.

Usia untuk disembelih adalah faktor utama yang menjamin keseluruhan rasa serta nilai nutrisi daging tersebut. Daging kambing dari Lembah Boer disembelih apabila mencapai usia 8-12 bulan.

Pada usia ini, dagingnya mengandungi nutrisi yang tinggi, lebih rendah lemak tepu dan kolesterolnya. Dagingnya juga lebih lembut dan basah.

Faktor lain pula ialah kandungan lemak. Apabila kandungan lemaknya rendah, daging tersebut tidak berbau kuat seperti yang sering terdapat pada daging kambing atau biri-biri yang lain.

Makanan kambing dari Lembah Boer adalah 100 peratus organik -- iaitu rumput Napier yang tumbuh di ladang seluas 20 ekar milik syarikat ini di Tapah.

Makanan tambahannya adalah daripada serat yang dihasilkan daripada isi buah kelapa sawit, kulit kacang soya dan jagung.

Ia bertujuan memastikan haiwan ternakan tersebut mendapat sumber serat dan protein yang tinggi.

Selain daripada itu, kambing-kambing ini juga memerlukan air galian yang tinggi kualitinya. Sumber ini diperoleh daripada sumber air galian semula jadi daripada air terjun Lata kinjang berdekatan Tapah.

BOLEH DIPELBAGAIKAN

Kebanyakan orang mendapati daging kambing memiliki bau yang sangat kuat. Apabila dimasak dengan kari, rempah yang digunakan dapat melindungi bau tersebut.

Lebih ramai orang Melayu dan India yang makan daging kambing berbanding kaum Cina. Masyarakat Cina kurang mahir memasak menggunakan kari, tetapi dengan adanya daging kambing Boer, bau yang sinonim itu dapat diatasi.

Daging kambing ini dapat menghasilkan hidangan kari India yang sangat lazat dan apabila dibakar, mengeluarkan aroma dan rasa yang sungguh enak.

Yeow berkata apabila rakyat Malaysia memahami bahawa daging kambing memberikan alternatif yang lebih sihat berbanding daging lain yang selalu dimakan, permintaan ke atasnya akan meningkat.

Dibandingkan dengan daging lembu dan daging babi, daging kambing lebih popular di pasar kerana ia tidak melibatkan batasan agama. Sesiapa sahaja boleh menikmatinya, kata beliau.

Memandangkan masyarakat Malaysia yang gemarkan makanan yang sihat, inilah masanya restoran-restoran menyediakan resipi-resipi baru dan mempromosikan daging kambing, khususnya daging kambing boer.

Dalam masakan, daging kambing boleh dipelbagaikan dengan cara masakan yang berbeza.

BOER GOAT JUNCTION

Di manakah tempatnya untuk membeli daging kambing? Majestic Nature Boer Farm Sdn Bhd sedang merancang untuk membuka kedai menjual daging kambing di bawah label "Daging Kambing Lembah Boer".

Cawangan pertamanya dijangka akan dibuka di Damansara Utama penghujung September tahun ini. Lokasi tersebut dipilih kerana menjadi tumpuan ramai dan terdiri daripada pelbagai kaum.

"Masyarakat bandar di Malaysia selalu menghadapi masalah untuk mendapatkan daging kambing. Ia tidak semudah mendapatkan daging kambing biri-biri, lembu dan ayam," kata Yeow.

Menurutnya, 21 cawangan Boer Goat Junction dijangka akan dibuka dalam tempoh dua tahun akan datang.

Menjelang 2011, selain ladang yang ada di Tapah, Majestic Nature Boer Farm bercadang untuk memiliki empat ladang ternakan lagi dengan jumlah kambing yang dibiakkan melebihi 10,000 ekor.


di petik dari Bernama 
Oleh Soraya Jamal

No comments:

Post a Comment