1. Jangan memilih bidang perniagaan tertentu hanya kerana melihat orang lain berjaya mengusahakannya, tanpa mengetahui selok-belok perniagaan tersebut. Pemilihan secara membuta tuli amat merbahaya kerana tidak dibuat berasaskan penilaian yang wajar. Janganlah terikut-ikut dengan "sindrom goreng pisang," di mana bila ada orang berniaga goreng pisang, semua orang nak berniaga goreng pisang.
2. Jangan mencampur-aduk urusan wang syarikat dengan urusan wang sendiri. Ramai usahawan Bumiputera gagal mengawal disiplin diri dalam aspek ini, dimana mereka menggunakan wang perniagaan bagi tujuan sendiri. Ini menyebabkan perniagaan menghadapai masalah aliran tunai yang seterusnya menyebabkan perniagaan gagal. Usahawan perlu faham konsep 'entiti berasingan' antara dirinya dengan perniagaannya dan menghormati perniagaannya sebagai satu entiti lain.
3. Jangan mengamalkan penipuan dalam perniagaan. Ini adalah tuntutan agama kita, dimana peniaga dilarang menipu dalam timbangan, sukatan dan maklumat mengenai produk. Ada peniaga yang sanggup menipu bukan sahaja pelanggan, malah juga kerajaan dari segi pembayaran cukai dan sebagainya. Elakkan menipu dalam semua hal kerana lambat laun akan diketahui orang. Penipuan akan menghilangkan 'barakah' dalam urusan perniagaan kita.
4. Jangan tamak. Ramai usahawan menjadi tamak dan cuba membuat terlalu banyak perkara dalam masa yang sama. Ini menyebabkan mereka hilang fokus. Orang tua-tua sudah berpesan, orang tamak selalu rugi. Nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Ingat juga kata orang putih, "Rome was not built in a day".
5. Jangan pinjam wang jika tidak perlu. Apabila usahawan meminjam wang, tujuannya haruslah untuk membantu menyelesaikan masalah perniagaan, bukannya untuk menjadi masalah kepada dirinya. Oleh itu pinjam hanya apabila perlu dan yakin ia akan membantu perniagaan dan boleh dibayar balik. Tujuan pinjaman hendaklah dilaksanakan. Jangan jadi seperti sesetengah usahawan yang pinjam wang untuk perniagaan tetapi guna wang itu untuk beli kereta mewah dan sebagainya.
6 Jangan mudah percaya kepada semua maklumat yang diterima, lebih-lebih lagi jika sumber maklumat itu kabur. Dalam perniagaan, maklumat yang betul sangat penting supaya keputusan yang tepat dapat dibuat. Oleh itu pastikan setiap maklumat disahkan secara teratur. Jika usahawan tidak mengesahkan maklumat yang diterima, dia terdedah kepada risiko membuat keputusan yang salah.
7. Jangan mempunyai perasaan dengki kepada usahawan lain. Ini satu kelemahan usahawan Bumiputera yang agak ketara. Sebaiknya, jadikan usahawan yang lebih berjaya sebagai penanda aras dan cabaran persaingan. Dalam perniagaan, jaringan amat penting untuk berjaya. Oleh itu kita seharusnya bekerjasama membantu satu sama lain dalam satu jaringan yang melahirkan sinergi, bukan menyimpan rasa dengki yang berhasrat memusnahkan. Kata orang puteh, kita perlu "live and let live".
Sumber: Treasury
No comments:
Post a Comment