Friday, March 11, 2011

♥ Pusat Sehenti Kanser

Perjuangan kanser NCSM





SEBUT sahaja kanser pastinya ramai yang gerun mendengarnya apatah lagi jika mengalaminya sendiri.
Saban tahun kita didedahkan dengan begitu banyak maklumat mengenai pelbagai jenis kanser baik di dada-dada akhbar, televisyen mahupun kempen-kempen kesihatan yang dilakukan oleh kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Namun, bilangan kes kematian semakin meningkat.
Ia seolah-olah tidak memberi kesan langsung kepada masyarakat kerana penyakit yang boleh membawa maut itu dilayan seperti penyakit demam atau selesema sahaja.
Kegerunan sahaja tidak mencukupi jika tidak diiringi dengan satu langkah mudah bagi mengatasinya tetapi satu langkah mudah itulah yang tidak direalisasikan oleh kebanyakan masyarakat Malaysia kerana terlalu mengambil enteng dan takut untuk melakukan ujian saringan pengesanan awal kanser.
Mungkin anda semua tidak tahu bahawa hari ini merupakan sambutan Hari Kanser Sedunia dan kerana itulah topik mengenai kanser sengaja dipilih untuk memberikan kesedaran kepada semua mengenai betapa pentingnya saringan awal kanser. Ia bukan sahaja boleh mencegah kanser malah boleh menyelamatkan nyawa.
Mulakan langkah anda mulai hari ini untuk membuat saringan awal pengesanan kanser kerana mungkin kerana langkah yang dilakukan mampu menyelamatkan nyawa anda di kemudian hari.


PREMIS NCSM di Jalan Raja Muda Abdul Aziz yang beroperasi sejak tahun 1966.


NGO kanser lengkap
Apa kata aturkan langkah anda berkunjung ke Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur yang merupakan sebuah NGO lengkap yang menawarkan perkhidmatan rawatan kanser dan sokongan buat seluruh warga Malaysia.
Bangunan yang mempunyai papan tanda berwarna kuning itu terletak di tepi Jalan Raja Muda Abdul Aziz dibina pada tahun 1966 oleh pengasasnya, Datuk Dr. S. K. Dharmalingam sangat dekat di hati golongan pesakit kanser. Ini kerana di sinilah mereka mendapatkan nasihat serta khidmat sokongan bagi meneruskan kehidupan yang lebih positif.
NCSM bukanlah sebuah persatuan yang mengumpul dana bagi menjalankan aktiviti berkaitan dengan kesedaran kanser seperti pertubuhan-pertubuhan lain malah ia turut memberikan perkhidmatan rawatan kepada pesakit yang memerlukan.
“Di sini kami memberikan peluang kepada orang ramai terutamanya kepada golongan yang kurang berkemampuan untuk melakukan ujian saringan kanser pada kadar yang berpatutan.
“Antara perkhidmatan saringan yang disediakan ialah mammogram, ultra bunyi payu dara, pap smear, ujian ketumpatan tulang, vaksinasi, ujian tiroid, prostat dan banyak lagi,” kata Ketua Pusat Pengesanan Kanser Wanita, Dr. Dalilah Kamaruddin yang juga bertugas sebagai pegawai perubatan di NCSM.
Tambahnya, caj perkhidmatan di NCSM adalah murah dan ia juga ditawarkan secara percuma kepada mereka yang layak.
Tidak seperti NGO yang lain, NCSM mempunyai Pusat Sumber dan Kesejahteraan, Pusat Pengesanan Kanser Wanita, Pusat Perubatan Nuklear, Pusat Rawatan Kanser dan Rumah Harapan Kanak-Kanak tanpa dana daripada kerajaan.
Walaupun banyak kemudahan yang ditawarkan kepada masyarakat, namun, ramai yang masih tidak tahu akan kewujudannya kecuali pesakit kanser atau golongan yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser.
“Tempat ini bukan sekadar menyediakan perkhidmatan saringan malah menjadi lokasi menimba ilmu yang menyediakan pusat informasi setempat dalam menangani kanser.


PEMERIKSAAN mamogram dan ultra bunyi dapat mengesan awal penyakit kanser agar ia dapat dirawat segera.


“Ia diurus oleh seorang kaunselor berpengalaman dan para sukarelawan untuk menjawab pertanyaan anda. Di sini juga mempunyai sebuah perpustakaan rujukan kanser dan pusat ini aktif menganjurkan mesyuarat kumpulan-kumpulan sokongan, bengkel dan sebagainya,” ujar Dalilah.
Bangunan NCSM yang mula dibina pada tahun 1966 dinaik taraf sedikit demi sedikit sehingga kini bagi memberikan kemudahan yang selesa kepada pesakit, malah ia turut menyediakan kediaman untuk pesakit kanak-kanak luar bandar yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur bermula pada tahun 1998 pada kadar bayaran yang murah.
“Pengunjung yang datang untuk ujian saringan boleh mendapatkan keputusan dalam tempoh dua jam bermula saat mereka mendaftarkan diri dan setelah mendapat keputusan. Andai didapati menghidap kanser, kami akan mencadangkan mereka membuat rawatan.
“NCSM juga menyediakan pusat rawatan di Hospital Tung Shin, Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Antara rawatan yang disediakan ialah radioterapi, kemoterapi, terapi hormon dan brakiterapi kadar dos tinggi,” katanya.
Pusat Rawatan Kanser tersebut dilengkapi dengan peralatan berteknologi tinggi yang setaraf dengan hospital swasta tetapi dengan caj yang lebih murah sedikit dan pesakit tidak perlu menunggu lama.
Mengakui tidak banyak promosi hebat di dada-dada akhbar, Dalilah memberitahu kebanyakan mereka yang datang ke NCSM mengetahuinya daripada promosi mulut ke mulut oleh rakan, laman web dan risalah edaran.
“Tidak semua hospital menggunakan mesin digital seperti di sini kerana kebanyakan hospital lain menggunakan mesin analog bagi membuat pengesanan mammogram.
“Selain dapat memberikan keputusan pada hari yang sama, bayaran yang dikenakan juga murah iaitu RM150 untuk ujian mammogram dan pap smear,” jelasnya yang memberitahu setiap prosedur kedua-dua ujian itu hanya mengambil masa 25 hingga 30 minit.
Kesedaran Melayu rendah
Menyentuh mengenai kesedaran orang ramai terhadap penyakit kanser, Dalilah memberitahu kesedaran dalam kalangan masyarakat Malaysia masih rendah.
Menurutnya, masyarakat berketurunan Cina lebih ramai membuat ujian saringan berbanding masyarakat Melayu dan India.
Kemungkinan orang Melayu malu dan khuatir menjalani ujian saringan melibatkan bahagian sulit mereka sehingga menyebabkan kes kanser dikesan di peringkat yang serius.
“Pengetahuan mengenai kanser itu sendiri perlu dijelaskan dengan terang kepada orang ramai. Saya sendiri terkejut apabila masih ada lagi yang tidak mengetahui apa itu kanser walaupun mereka mendiami kawasan pinggir bandar.
“Ilmu tentang kanser ini sangat penting, namun ilmu sahaja tidak mencukupi jika ia tidak diiringi dengan kesedaran untuk mencegahnya di peringkat awal,” tegasnya.

PEMERIKSAAN yang lengkap mampu menyelamatkan nyawa seseorang daripada kanser.



Dalilah juga mengingatkan bahawa kanser tidak memilih jantina kerana ia juga berisiko dihidapi oleh kaum lelaki.
Jika beberapa tahun lalu ramai wanita yang datang berseorangan membuat saringan kanser tetapi kebelakangan ini, wanita tampil sambil ditemani suami, bapa atau abang untuk bersama-sama membuat ujian saringan.
Ditanya apa yang menjadi kekangan untuk orang ramai tidak mahu tampil kehadapan, Dalilah memberitahu, termakan ‘cakap-cakap’ kawan mengatakan pemeriksaan saringan menyakitkan menyebabkan ramai yang mematikan hajat membuat pemeriksaan.
“Tiada apa yang perlu ditakut atau dimalukan kerana ia tidak menyakitkan. Datang dahulu dan kami akan menerangkan mengenai setiap prosedur yang bakal dijalankan.
“Jika seseorang itu didiagnosis menghidap kanser, janganlah menganggap ia sebagai satu hukuman mati. Apa yang perlu adalah kuatkan diri, positifkan fikiran kerana kanser tidak semestinya berakhir dengan kematian jika dikesan di peringkat awal,” katanya.


dipetik dari: kosmo

1 comment:

  1. BICARA ILMIAH – KANSER, ANDA DAN SOLUSI

    Merujuk kepada perkara di atas, pihak kami dengan segala hormatnya menjemput ke majlis seperti di atas:

    Tarikh: 1 Jun 2013
    Masa: 2.30 petang
    Tempat: Dewan Citra, No. 8-3A, Plaza Citra Kajang
    (Di hadapan Masjid Jamek Kajang, bersebelahan
    Hotel KK/Sen Heng Elektrik )
    Penceramah Utama: Tuan Syed Abdul Jalil (Pengasas PrimaSeries)

    2. Sebagai makluman ringkas, PrimaSeries merupakan produk daripada herba yang khusus untuk membunuh sel kanser dan juga berkesan merawat beberapa penyakit kritikal seperti buah pinggang dan masalah saraf. Sehingga sekarang sudah 7 tahun produk ini menjalani R&D.

    3. Produk ini telah menjalani ujian pre-clinical dan yang terbaharu ia di sediakan di dalam bentuk suntikan (nano suspension) mula akan di berikan kepada pesakit di beberapa hospital kerajaan secara klinikal.

    4. Melalui Bicara Ilmiah yang kami akan anjurkan ini kelak, ia akan dapat membantu anda untuk mendapatkan penerangan terperinci tentang penyelidikan dan perjalanan produk ini di pasaran.

    5. Sayugia kiranya ahli tuan yang berminat, dapat sekiranya sahkan kehadiran mereka sebelum/ pada 29 Mei 2013 kepada En. Izzudin tel 019-2763273.

    Terima kasih

    ReplyDelete